Photobucket

Wednesday, September 22

Hidup...

Diploma kesihatan haiwan dan peternakan. Bolehla dikatakan first step sebelum blaja lebih dalam untuk menjadi seorang veterinar. Menjadi pelajar yang mempelajari mengenai kesihatan haiwan dan peternakan ni bukanlah mudah. Lebih kurang sama je macam doktor manusia, cuma rasanya skopnya lebih luas. Yela, manusia ada satu je, haiwan ni ada banyak jenis. Huhu~

Macam doktor manusia, yang bedah-bedah orang, kitorang pun perlu bedah-bedah haiwan. Ingat lagi haiwan first yang aku n da geng bedah, guinea pig tuk kelas biologi. Seriously, tu memang first time aku bedah benda hidup ni. Certain sekolah menengah ada buat bedah katak, tapi kat sekolah aku xde. So, pengalaman ni memang berhargala n menakutkan jugakla. Menggigil jugakla mula-mula tu coz kesian n rasa cam kejam sangat je. Tapi try to set my mind, kita bedah ni untuk study bukan untuk suka-suka. So, lega sketla. Ingatkan dapat guinea pig yang memang dah mati, tapi rupanya hidup lagi. Lagila rasa kejam habis. Tapi nak buat camne. Terpaksalah. Rasanya sume orang dalam kelas aku rasa camtu gak. First time kot...

Tapi sekarang, dah rasa biasa dah. Kambing, ayam, cacing, rusa, khinzir (certain organ je). Sume dah jadi mangsa. Huhu... Yang kambing ngan rusa tu, nasib baik diorang bagi yang dah mati, klau x, x taula sanggup ke x nak bedah diorang. Bau lepas bedah tu, jangan cakapla. Memang menusuk-nusuk kalbu betol... Setakat ni xde lagila budak kitorang yang pengsan. Klau pengsan, camne nak jadi vet kan. Masa nila kita nak praktis...

Konsep Akhlak

Perkataan akhlak adalah kata jamak dari khuluq. Menurut Ibnu Athir, khuluq atau akhlaq ialah bentuk kejadian manusia dari sudutnya yang batin. Tokoh falsafah akhlak Islam, Miskawaih (1966) pula merumuskan bahawa akhlak ialah suatu keadaan bagi diri atau jiwa (al-nafs) yang mendorong diri atau jiwa untuk melakukan sesuatu perbuatan atau tindakan dengan senang tanpa didahului oleh daya pemikiran, kerana sudah menjadi sifat atau kebiasaan. Imam Al-Ghazali pula menghuraikan bahawa akhlak adalah suatu keadaan yang tetap dalam diri atau jiwa yang melahirkan tindakan, perlakuan, atau perilaku amalan dengan mudah tanpa memerlukan pemikiran. Ia merupakan suatu keadaan atau sifat yang ada di dalam diri atau jiwa manusia yang telah tetap, sehingga dengan mudah melahirkan perlakuan atau perilaku yang baik atau buruk tanpa difikir atau dirancang terlebih dahulu (Mohd Sulaiman Yasin, 1992). Walau bagaimanapun, (Jalaluddin dan Usman 1994) menegaskan bahawa kewujudan akhlak yang mulia terlihat di dalam sikap pengabdian (sikap dan tingkahlaku) seseorang hamba kepada Allah SWT dan kepada persekitarannya, baik kepada sesama manusia, mahupun terhadap alam sekitar.


Ahmad Amin (1974) pula merumuskan bahawa akhlak sebagai ‘iradat-iradat yang dibiasakan’ (hal 63) iaitu apabila sesuatu perbuatan yang berasaskan kemahuan atau iradat itu diulang-ulang, maka ia akan menjadi akhlak. Beliau juga menggambarkan akhlak sebagai ‘membiasakan sesuatu kecenderungan secara berkekalan’. Menurut beliau, kecenderungan yang tidak menjadi kebiasaan yang berkekalan tidak boleh dinamakan sebagai akhlak seperti seseorang yang memberikan sesuatu sekali-sekala. Pandangan yang diberikan oleh Ahmad Amin ini selari dengan konsep akhlak yang diutarakan oleh Ibnu Miskawaih dan Al-Ghazali yang menekankan unsur ketekalan sesuatu keadaan yang wujud di dalam jiwa seseorang sehingga melahirkan perlakuan atau perilaku yang tekal dan mudah di dalam mana-mana keadaan yang dialami oleh seseorang. Sama seperti Al-Ghazali, Ahmad Amin menjelaskan bahawa akhlak adalah sifat kejiwaan atau keadaan yang wujud di dalam diri seseorang. Ab. Halim dan Zarin (2002) pula merumuskan bahawa akhlak ialah satu set kepercayaan, undang-undang dan sistem yang berkaitan dengan kelakuan atau tindakan manusia yang menentukan sesuatu perkara itu baik atau buruk, dan betul atau salah dalam konteks ketauhidan manusia kepada Allah S.W.T.

Dari segi perlakuan, beberapa istilah digunakan bagi menggambarkan keadaan luaran bagi fenomena akhlak yang wujud di dalam diri seseorang. Menurut Ahmad Amin (1975), fenomena luaran bagi akhlak dinamakan sebagai suluk (tingkahlaku) atau muamalah (perlakuan dalam pergaulan) yang menjadi tanda kepada keadaan akhlak yang wujud di dalam jiwa seseorang. Tingkahlaku atau perilaku yang baik, tekal dan bersahaja menandakan akhlak yang baik dan sebaliknya. Secara lebih khusus dalam kehidupan seharian, fenomena akhlak yang lahir di dalam bentuk perilaku dan perbuatan juga disebut sebagai adab. Menurut Gabrieli (1960), adab adalah istilah di dalam Bahasa Arab yang bermaksud adat, kebiasaan, etika dan tingkahlaku yang diikuti dari orang-orang yang dianggap sebagai model. Adab di dalam Islam pula merujuk kepada tingkahlaku yang baik bagi sesuatu perkara yang diterima oleh Islam dari pengajaran-pengajarannya (Al-Kaysi, 2000). Syed Ali Ashraf (1990) pula merumuskan bahawa adab merupakan suatu sistem model tentang bagaimana manusia melaksanakan kehendak ketuhanan di dalam kehidupan seperti yang diteladani oleh Rasulullah SAW dari pengajaran-pengajaran yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Oleh kerana itu, menurut beliau, pendidikan dijelaskan sebagai proses membudayakan adab dan latihan kesedaran akhlak bersumberkan pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah sekaligus mendidik manusia untuk melaksanakannya di dalam kehidupan individu dan sosial. 

Sistem pemangkasan yang digunakan untuk pokok buah-buahan

Pemangkasan diamalkan bagi tujuan untuk mendapatkan buah, mengawal saiz pokok, melatih pokok menjadi simetri atau seimbang, mengawal penyakit pada pokok terutamanya kulat serta meninggikan nilai estetika pokok tersebut. Selain itu, pemangkasan perlu dilakukan bagi membuang dahan-dahan yang tidak diperlukan seperti dahan sulur air iaitu dahan yang tidak menghasilkan buah. 

Terdapat tiga sistem pemangkasan yang dilakukan pada pokok buah-buahan iaitu sistem terbuka tengah, sistem sistem tengah terbuka diubahsuai dan sistem batang utama-central leader. Sistem-sistem ini diamalkan bergantung kepada jenis pokok buah itu sendiri. Sistem terbuka tengah sesuai dimalkan pada pokok yang besar dan tinggi seperti pokok durian, rambutan, langsat, dabai dan pulasan. Bagi sistem ini, hanya 3 hingga 4 dahan sahaja dibenarkan bagi satu-satu pokok. Bahagian tengah pokok dipangkas. Bagi sistem tengah terbuka diubah suai, hanya 5 hingga 6 dahan sahaja dibenarkan untuk satu-satu pokok bagi tujuan berbuah. Antara pokok yang boleh menggunakan sistem ini ialah pokok manggis, mangga dan kuini. Bagi sistem batang uatama pula, pokok dibiarkan tumbuh menegak.

Pertanian Bersepadu...

Kegiatan pertanian yang meliputi budaya bercucuk tanam dan menternak haiwan merupakan salah satu kebudayaan manusia yang paling tua. Walau bagaimanapun, kegiatan ini dikira masih baru sekiranya dibandingkan dengan sejarah keberadaan manusia. Sebelum aktiviti pertanian dimulakan iaitu pada zaman Paleolitik, manusia hanya memburu dan mengumpul hasil hutan seperti buah-buahan untuk meneruskan kehidupan mereka seharian.

Malaysia adalah sebuah Negara yang sedang membangun. Ekonomi negara banyak bergantung kepada hasil-hasil yang diperoleh daripada aktiviti-aktiviti pertanian seperti tanaman kelapa sawit. Kedudukannya di kawasan hutan hujan tropika menerima hujan tahunan di bawah 3000 mm setahun yang turun lebih kurang 200 hari dalam setahun dan cahaya matahari yang diterima di dalam lingkungan 2200 jam membolehkan pelbagai jenis tanaman ditanam, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Menurut C.R.W Spedding (1994), pertanian ialah suatu aktiviti (manusia) yang dijalankan terutama untuk menghasilkan makanan dan gentian (bahan api, serta bahan-bahan lain) melalui kegunaan tumbuh-tumbuhan dan haiwan secara terkawal dan berhati-hati. Justeru itu, pertanian adalah suatu aktiviti ekonomi yang sangat penting walaupun keluarannya tidak dinyatakan dalam istilah kewangan.

Berdasarkan sejarah, pertanian adalah antara sektor penjanaan ekonomi tertua dunia dan terpenting sehingga ke hari ini. Negara-negara maju di barat tetap meletakkan bidang pertanian sebagai antara keutamaan di dalam urusan pentadbiran ekonomi negara mereka. Malaysia turut tidak ketinggalan dalam transformasi sektor berdaya maju ini dan Malaysia merupakan antara negara pertanian utama di rantau ini suatu ketika dahulu kerana struktur tanahnya yang sesuai untuk kebanyakan jenis tanaman.

Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun  seperti Malaysia. Malah, ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Pada masa yang sama, sektor ini turut menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka. Majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian.
  
Untuk menambah sumber makanan, masyarakat ketika itu menternak ayam dan itik, menanam pokok buah-buahan dan tanaman lain di dusun mereka seperti pisang, ubi kayu, tebu, kelapa dan pinang. Selain itu, tanaman dagangan juga diusahakan. Jenis pengamalan pertanian ini dikenali sebagai pertanian bersepadu ataupun  pertanian integrasi. Terdapat dua cabang utama dalam bidang pertanian, iaitu pertanian monokultur dan pertanian bersepadu. Pertanian monokultur didefinisikan sebagai sebuah sistem pertanian yang diberikan secara eksklusif untuk menghasilkan sejenis produk (penamanan) manakala pertanian integrasi  membawa maksud kegiatan pertanian yang melibatkan kedua-dua aktiviti penamanan dan peternakan di tempat yang sama dalam jangka masa tertentu. 

Secara umum, monokultur merupakan pengamalan pertanian yang mengeluarkan hasil penanaman atan pengkhususan dalam sejenis tanaman di sesebuah tempat. Jenis penamanan ini digunakan secara meluas dalam industri pertanian moden dan pelaksanaanya telah memberi impak yang besar dalam penggunaan tenaga kerja kerana telah meminimakan pengunaan buruh. Hal ini demikian, pengamalan monokultur khas untuk tanaman tidak kira sama ada ia dilakukan dalam skala besar ataupun kecil secara berterusan.
Walau bagaimanapun, pengamalan ini boleh menyebabkan penyebaran penyakit dengan cepat. Hal ini demikian kerana jenis tanaman yang sama mempunyai daya tahan yang sama. Hal ini akan memberikan kerugian yang besar kepada pengusaha tanaman tersebut. Istilah monokultur juga sering kali diguna dalam perkara-perkara seperti menaikkan sejenis spesies ternakan di sesebuah ladang atau dalam bidang-bidang selain pertanian untuk menggambarkan setiap kumpulan didominasi oleh satu variati sahaja.

Pengamalan pertanian bersepadu di Malaysia merupakan kegiatan pertanian yang terpenting dan diusahakan secara meluas oleh petani atau penghuni kampung di Malaysia. Tetapi, terdapat segelintir masyarakat yang mengusahakan pertanian bersepadu secara komersial. Kebiasaannya, aktiviti bercucuk tanam dijalankan bersama peternakan ayam kampung, lembu atau kambing. Kebiasaannya, tanaman jenis ini dilakukan bagi tujun sara diri untuk keperluan keluarga dan selebihnya dijual kepada penduduk tempatan sahaja. Pertanian bersepadu diusahakan oleh ahli keluarga yang bermodal kecil serta menggunakan jentera-jentera kecil dan kemudahan pemprosesan serta pemasaran yang disediakan oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, kebanyakan petani kampung masih mengamalkan cara pertanian tradisional. 

Melihat kepada sejarah awal transformasi pertanian di negara kita maka dapatlah difahami bahawa sektor ini bukanlah baru malahan merupakan sumber ekonomi utama masyarakat dahulu dan sekarang. Pertanian akan kekal menjadi nadi penggerak kepada negara dan usaha kerajaan untuk menjadikan sektor ini sebagai perniagaan yang amat menguntungkan perlu mendapat kerjasama dan penglibatan daripada semua pihak.

Kampung Jepak...

Kampung Jepak merupakan kampung induk yang merangkaikan 3 buah kampung utama iaitu Kampung Jepak Hulu dan Hilir, Kampung Sebuan Kecil dan juga Kampung Sebuan Besar. Kampung ini merupakan perkampungan tradisional nelayan yang kebanyakan diduduki oleh kaum Melanau dan juga kaum Melayu. Sungai Kemena memisahkan kampung ini daripada pusat bandar. Jadi, penduduk mempunyai dua pilihan jika mahu pergi ke bandar iaitu sama ada melalui jalan darat ataupun air. Kampung ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastuktur seperti jalan bertar dan jambatan, bekalan air bersih, bekalan elektrik yang mencukupi, sistem sanitasi yang sempurna, kemudahan perniagaan pusat pendidikan serta pelbagai lagi kemudahan asas yang lain seperti masjid, dewan orang ramai dan juga klinik bergerak. Penduduk Kampung Jepak melakukan pelbagai aktiviti seperti bercucuk tanam, menternak binatang, memproses sagu, mengeringkan ikan, memproses belacan dan cencaluk serta membuat terendak dan tudung saji.

Tuesday, September 21

Royal Jelly

Royal Jelly ialah makanan khas yang hanya dimakan oleh Ratu Lebah, dimana makanan tersebut dihasilkan oleh lebah itu sendiri. Royal Jelly dimakan oleh Ratu sepanjang hayatnya. Terdapat dua peringkat penghasilan Royal Jelly. Pada peringkat permulaan, Royal Jelly , asal dari manisan bunga dikutip oleh lebah dan seterusnya diproses sendiri oleh lebah tersebut sehinggalah terhasilnya madu. Peringkat berikutnya, ia diproses oleh lebah itu sendiri sehingga terhasilnya Royal Jelly.

Royal Jelly mengandungi Asetikolin yang berfungsi memperkuat hati dan pundi hempedu. Asetikolin ini hanya boleh didapati dari dua sumber sahaja iaitu Royal Jelly dan otak manusia. Walaupun mempunyai pelbagai khasiat, namun Royal Jelly ini tidak dapat betahan lama. Royal Jelly segar hanya mampu bertahan selama tiga hari, selepas itu kebanyakan zat dan vitaminnya akan teroksida dan akhirnya musnah. Oleh kerana itu, Royal Jelly selalunya disejukbekukan (Lyophilized) supaya semua zat dan vitaminnya terpelihara. Royal Jelly tidak akan dapat dihasilkan semula oleh manusia di makmal sebaliknya ia adalah hasil semulajadi yang diproses oleh lebah itu sendiri.

            Lebah mempunyai cara mereka tersendiri dalam menghasilkan Royal Jelly. Apabila mereka mengutip manisan atau debunga, sebahagian dimakan oleh mereka sendiri manakala sebahagian lagi disimpan di dalam kantung madu yang terdapat di dalam abdomen badan lebah dan dibawa pulang ke sarang. Cairan ini dinamakan madu dan ia dijadikan makanan untuk larva atau lebah-lebah yang lain.  Sebahagian lagi memasuki peringkat kedua pemprosesan di mana ia masuk ke dalam perut dan seterusnya diserap ke dalam sistem penghadaman lebah lalu dibawa ke kelenjar Faringeal. Akhirnya cairan tersebut dikeluarkan semula dan terhasillah satu cecair yang menyerupai seakan-akan susu (berwarna putih kekuningan). Ianya berbeza dengan madu yang lebih manis. Walaupun rasanya sedikit masam, namun ia mengandungi pelbagai khasiat dan panawar ke atas kebanyakan penyakit-penyakit manusia berbanding madu. Cecair inilah yang dinamakan Royal Jelly. Royal Jelly umumnya di simpan dalam botol yang ditempatkan dalam freezer untuk mengekalkan nutriennya. Keadaan ini menyebabkan Royal Jelly tidak dapat dibeli dalam jumlah sedikit, dan hanya mampu dibeli oleh orang-orang yang berkemampuan.

My Blog List

Pantasnya Masa Berlalu...


Make your own Countdown Clocks

✿◕ ‿ ◕✿ ❀◕ ‿ ◕❀ ❁◕ ‿ ◕❁ ✾◕ ‿ ◕✾❁◕ ‿ ◕❁❀◕ ‿ ◕❀✿◕ ‿ ◕✿ ❀◕ ‿ ◕❀ ❁◕ ‿ ◕❁ ✾◕ ‿ ◕✾