Photobucket

Tuesday, September 21

Pembangunan Modal Insan

Pembangunan Modal Insan           


Pembangunan bermaksud perihal berkembang dan meningkat maju, usaha atau kegiatan membangunkan, mamajukan dan mengembangkan pada halaman 102, Kamus Dewan edisi ketiga. Modal insan bolehlah disimpulkan sebagai individu. Modal insan adalah berkaitan dengan ekonomi masyarakat dan negara kerana individu tidak dapat dipisahkan daripada pengetahuan, kemahiran, kesihatan ataupun nilai. Oleh sebab itulah pendapatan yang tinggi, kesihatan yang baik dan pembentukan nilai dan tabiat yang baik akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan seseorang (Gary S. Becker).

            Terdapat pelbagai definisi mengenai konsep pembangunan modal insan ini.  Ada yang melihat daripada perspektif ekonomi, sosial dan agama. Para pengkaji di Barat melihat daripada perspektif yang berbeza. Menurut perspektif barat, modal insan adalah suatu cara untuk mengenal pasti dan mengkategorikan kemahiran dan kebolehan memberi sumbangan kepada pembangunan negara khususnya dalam hal ekonomi. Mengikut kepada perspektif hidup mereka, mereka amat mementingkan dan begitu memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat terutama dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu. 

Modal insan merupakan harta terpenting seperti yang dinyatakan oleh Theodore W. Schultz, seorang sarjana yang memperkenalkan teori modal insan yang mengatakan bahawa pengetahuan dan kemahiran adalah elemen modal yang terhasil daripada pelaburan yang disengajakan (http://zahirzainudin.blogspot.com/2006/11/pendidikan-dan-pembinaan-modal-insan.html). Contoh yang jelas ialah peningkatan hasil ekonomi di negara-negara Barat adalah kesan positif daripada pelaburan dalam modal insan. Dengan kata lain, wujud hubungan di antara peningkatan pelaburan modal insan dan peningkatan pendapatan pekerja. Seiring dengan pandangan oleh Gary S. Becker, Schultz juga bersetuju dengan konsep pelaburan modal insan ini. Jadi, negara-negara maju yang melabur dalam pendidikan, kesihatan dan latihan dalam jangka panjang akan menguatkan struktur ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat mereka. Hal ini berlainan sekali dengan negara-negara mundur yang lebih kepada perjuangan untuk menyara diri mereka sendiri dalam mendapatkan keperluan asas khususnya makanan. Tempat berteduh dan juga keselamatan diri daripada memikirkan persaingan ekonomi dengan negara lain.

            Definisi modal insan dalam perspektif Islam amat berlainan daripada Barat yang berakarkan fahaman kapitalis. Modal insan dilihat tidak sekadar mementingkan aspek luaran semata-mata. Selain menekankan aspek pembangunan intelektual dan emosional, modal insan yang dimaksudkan menerusi perspektif Islam melibatkan pembangunan dalaman ataupun spiritual. Islam melihat modal insan sebagai suatu konsep yang luas dan lebih terperinci tanpa terdapat isi-isi yang tidak dihuraikan (http://mygamis.wordpress.com/2007/08/02/modal-insan-dan-budaya-keilmuan-2/). Dalam modal insan, pembangunan sumber manusia adalah elemen terpenting kerana individu adalah sumber utama.

Modal insan yang dimaksudkan ialah individu yang mengamalkan nilai-nilai murni seperti amanah, bertanggungjawab, cergas dan juga mempunyai keperibadian yang mulia selain melihat dari sudut kemahiran, kepakaran dan maklumat yang dipunyai oleh individu tersebut. Pembentukan nilai-nilai ini tidak sekadar memenuhi kehendak organisasi malah untuk masyarakat dan negara. Hal ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan modal insan dan mahu setiap umatnya memiliki setiap sifat yang diperlukan agar hidup mereka lebih terpelihara dan sejahtera berdasarkan ayat daripada Al-Quranul Karim  yang membawa maksud “Sekiranya penduduk sesuatu negeri itu bertakwa nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi (Surah Al-A’raf, ayat 96). Definisi yang padat ini dapat menjelaskan betapa pentingnya sumber ini kepada sesebuah negara khususnya umat Islam.

            Di Malaysia, konsep Pembangunan Modal Insan ini telah dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi semasa membantangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 30 Mac 2006. “Untuk membangunkan modal insan, kita mahu memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara dan mereka juga mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. Kita mestilah menjadi rakyat yang cintakan negara ini, rakyat yang bersemangat, bersedia bekerja dengan kuat, bekerja dengan rajin serta menjadi rakyat yang mengamalkan budi bahasa yang bermutu tinggi.” (Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Petikan Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-48 tahun 2005). Komponen Pembangunan Insan terdiri daripada kesaksamaan, produktiviti, pemerkasaan, kelestarian dan aestetika. Pembangunan Modal Insan memfokuskan kepada perkhidmatan, pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi, sosial, politik dan kerohanian (http://www.pmo.gov.my/modalinsan/index.html).

Pembangunan Modal Insan mempunyai teras dasarnya yang tersendiri seperti berikut:-
1)         Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan
             latihan supaya ianya berkualiti dan releven dengan keperluan semasa;
2)         Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama rakyat Malaysia
             yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan negara
3)         Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan
             bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran, prasarana dan kemudahan
             serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar;
4)         Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan
             latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan pasaran;
5)         Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan
             pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
6)         Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan
             keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh
             dan menggunakan pengetahuan;
7)         Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang
             mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta
             menghargai tradisi dan warisan; dan
8)         Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara
             kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.


Pembangunan Modal Insan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti seseorang individu. Ekoran daripada itu, mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima, telah memperkenalkan pelbagai langkah drastik seperti pengenalan kad perakam waktu bagi kedatangan dan kepulangan pekerja, memakai tanda nama, memperkenalkan sistem Fail Meja dan Sistem Manual Prosedur bagi memodenkan sektor awam yang sebelum itu terkenal ‘sebagai lembap’ dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat (Chamil Wariya, 2004). Hal ini bukanlah bertujuan hendak membebankan lagi pekerja-pekerja sektor awam, sebaliknya mendidik mereka supaya lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas di samping meningkatkan kualiti kerja individu agar Malaysia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara besar seperti Jepun. Dalam bidang pendidikan pula, Pembangunan Modal Insan ini dapat dilihat melalui pengenalan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) oleh Dato’ Seri Abdullah demi mengadakan satu sistem pelajaran yang “dapat membentuk individu yang berguna kepada masyarakat, yang mengenali bangsanya, negaranya dan boleh berbakti kepada pembangunan negara” (Chamil Wariya, 2004). Antara perkara lain yang turut terlibat dalm Pembangunan Modal Insan ini ialah seperti Rukun Negara, Wawasan 2020 dan juga Dasar Pandang ke Timur. Oleh itu, jelaslah kini bahawa Pembangunan Modal Insan bukanlah sesuatu yang sia-sia dan membuang masa namun sebaliknya ia memberi impak yang sangat besar dalam pembentukan generasi baru yang dapat memimpin negara dengan cemerlang berdasarkan peribadi yang gemilang untuk menjadikan negara sebagai negara yang terbilang dalam pelbagai aspek.

RUJUKAN
BUKU
-          Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996
-          Abdullah Ahmad Badawi Perjalanan Politik PM ke-5, Chamil Wariya, Utusan Publications & Distributors SDN BHD, 2004, m/s 133 dan 134
INTERNET
-          http://www.pmo.gov.my/modalinsan/index.html






No comments:

My Blog List

Pantasnya Masa Berlalu...


Make your own Countdown Clocks

✿◕ ‿ ◕✿ ❀◕ ‿ ◕❀ ❁◕ ‿ ◕❁ ✾◕ ‿ ◕✾❁◕ ‿ ◕❁❀◕ ‿ ◕❀✿◕ ‿ ◕✿ ❀◕ ‿ ◕❀ ❁◕ ‿ ◕❁ ✾◕ ‿ ◕✾