Perkataan akhlak adalah kata jamak dari khuluq. Menurut Ibnu Athir, khuluq atau akhlaq ialah bentuk kejadian manusia dari sudutnya yang batin. Tokoh falsafah akhlak Islam, Miskawaih (1966) pula merumuskan bahawa akhlak ialah suatu keadaan bagi diri atau jiwa (al-nafs) yang mendorong diri atau jiwa untuk melakukan sesuatu perbuatan atau tindakan dengan senang tanpa didahului oleh daya pemikiran, kerana sudah menjadi sifat atau kebiasaan. Imam Al-Ghazali pula menghuraikan bahawa akhlak adalah suatu keadaan yang tetap dalam diri atau jiwa yang melahirkan tindakan, perlakuan, atau perilaku amalan dengan mudah tanpa memerlukan pemikiran. Ia merupakan suatu keadaan atau sifat yang ada di dalam diri atau jiwa manusia yang telah tetap, sehingga dengan mudah melahirkan perlakuan atau perilaku yang baik atau buruk tanpa difikir atau dirancang terlebih dahulu (Mohd Sulaiman Yasin, 1992). Walau bagaimanapun, (Jalaluddin dan Usman 1994) menegaskan bahawa kewujudan akhlak yang mulia terlihat di dalam sikap pengabdian (sikap dan tingkahlaku) seseorang hamba kepada Allah SWT dan kepada persekitarannya, baik kepada sesama manusia, mahupun terhadap alam sekitar.
Ahmad Amin (1974) pula merumuskan bahawa akhlak sebagai ‘iradat-iradat yang dibiasakan’ (hal 63) iaitu apabila sesuatu perbuatan yang berasaskan kemahuan atau iradat itu diulang-ulang, maka ia akan menjadi akhlak. Beliau juga menggambarkan akhlak sebagai ‘membiasakan sesuatu kecenderungan secara berkekalan’. Menurut beliau, kecenderungan yang tidak menjadi kebiasaan yang berkekalan tidak boleh dinamakan sebagai akhlak seperti seseorang yang memberikan sesuatu sekali-sekala. Pandangan yang diberikan oleh Ahmad Amin ini selari dengan konsep akhlak yang diutarakan oleh Ibnu Miskawaih dan Al-Ghazali yang menekankan unsur ketekalan sesuatu keadaan yang wujud di dalam jiwa seseorang sehingga melahirkan perlakuan atau perilaku yang tekal dan mudah di dalam mana-mana keadaan yang dialami oleh seseorang. Sama seperti Al-Ghazali, Ahmad Amin menjelaskan bahawa akhlak adalah sifat kejiwaan atau keadaan yang wujud di dalam diri seseorang. Ab. Halim dan Zarin (2002) pula merumuskan bahawa akhlak ialah satu set kepercayaan, undang-undang dan sistem yang berkaitan dengan kelakuan atau tindakan manusia yang menentukan sesuatu perkara itu baik atau buruk, dan betul atau salah dalam konteks ketauhidan manusia kepada Allah S.W.T.
Dari segi perlakuan, beberapa istilah digunakan bagi menggambarkan keadaan luaran bagi fenomena akhlak yang wujud di dalam diri seseorang. Menurut Ahmad Amin (1975), fenomena luaran bagi akhlak dinamakan sebagai suluk (tingkahlaku) atau muamalah (perlakuan dalam pergaulan) yang menjadi tanda kepada keadaan akhlak yang wujud di dalam jiwa seseorang. Tingkahlaku atau perilaku yang baik, tekal dan bersahaja menandakan akhlak yang baik dan sebaliknya. Secara lebih khusus dalam kehidupan seharian, fenomena akhlak yang lahir di dalam bentuk perilaku dan perbuatan juga disebut sebagai adab. Menurut Gabrieli (1960), adab adalah istilah di dalam Bahasa Arab yang bermaksud adat, kebiasaan, etika dan tingkahlaku yang diikuti dari orang-orang yang dianggap sebagai model. Adab di dalam Islam pula merujuk kepada tingkahlaku yang baik bagi sesuatu perkara yang diterima oleh Islam dari pengajaran-pengajarannya (Al-Kaysi, 2000). Syed Ali Ashraf (1990) pula merumuskan bahawa adab merupakan suatu sistem model tentang bagaimana manusia melaksanakan kehendak ketuhanan di dalam kehidupan seperti yang diteladani oleh Rasulullah SAW dari pengajaran-pengajaran yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Oleh kerana itu, menurut beliau, pendidikan dijelaskan sebagai proses membudayakan adab dan latihan kesedaran akhlak bersumberkan pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah sekaligus mendidik manusia untuk melaksanakannya di dalam kehidupan individu dan sosial.
No comments:
Post a Comment