Photobucket

Wednesday, September 22

Pertanian Bersepadu...

Kegiatan pertanian yang meliputi budaya bercucuk tanam dan menternak haiwan merupakan salah satu kebudayaan manusia yang paling tua. Walau bagaimanapun, kegiatan ini dikira masih baru sekiranya dibandingkan dengan sejarah keberadaan manusia. Sebelum aktiviti pertanian dimulakan iaitu pada zaman Paleolitik, manusia hanya memburu dan mengumpul hasil hutan seperti buah-buahan untuk meneruskan kehidupan mereka seharian.

Malaysia adalah sebuah Negara yang sedang membangun. Ekonomi negara banyak bergantung kepada hasil-hasil yang diperoleh daripada aktiviti-aktiviti pertanian seperti tanaman kelapa sawit. Kedudukannya di kawasan hutan hujan tropika menerima hujan tahunan di bawah 3000 mm setahun yang turun lebih kurang 200 hari dalam setahun dan cahaya matahari yang diterima di dalam lingkungan 2200 jam membolehkan pelbagai jenis tanaman ditanam, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Menurut C.R.W Spedding (1994), pertanian ialah suatu aktiviti (manusia) yang dijalankan terutama untuk menghasilkan makanan dan gentian (bahan api, serta bahan-bahan lain) melalui kegunaan tumbuh-tumbuhan dan haiwan secara terkawal dan berhati-hati. Justeru itu, pertanian adalah suatu aktiviti ekonomi yang sangat penting walaupun keluarannya tidak dinyatakan dalam istilah kewangan.

Berdasarkan sejarah, pertanian adalah antara sektor penjanaan ekonomi tertua dunia dan terpenting sehingga ke hari ini. Negara-negara maju di barat tetap meletakkan bidang pertanian sebagai antara keutamaan di dalam urusan pentadbiran ekonomi negara mereka. Malaysia turut tidak ketinggalan dalam transformasi sektor berdaya maju ini dan Malaysia merupakan antara negara pertanian utama di rantau ini suatu ketika dahulu kerana struktur tanahnya yang sesuai untuk kebanyakan jenis tanaman.

Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun  seperti Malaysia. Malah, ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Pada masa yang sama, sektor ini turut menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka. Majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian.
  
Untuk menambah sumber makanan, masyarakat ketika itu menternak ayam dan itik, menanam pokok buah-buahan dan tanaman lain di dusun mereka seperti pisang, ubi kayu, tebu, kelapa dan pinang. Selain itu, tanaman dagangan juga diusahakan. Jenis pengamalan pertanian ini dikenali sebagai pertanian bersepadu ataupun  pertanian integrasi. Terdapat dua cabang utama dalam bidang pertanian, iaitu pertanian monokultur dan pertanian bersepadu. Pertanian monokultur didefinisikan sebagai sebuah sistem pertanian yang diberikan secara eksklusif untuk menghasilkan sejenis produk (penamanan) manakala pertanian integrasi  membawa maksud kegiatan pertanian yang melibatkan kedua-dua aktiviti penamanan dan peternakan di tempat yang sama dalam jangka masa tertentu. 

Secara umum, monokultur merupakan pengamalan pertanian yang mengeluarkan hasil penanaman atan pengkhususan dalam sejenis tanaman di sesebuah tempat. Jenis penamanan ini digunakan secara meluas dalam industri pertanian moden dan pelaksanaanya telah memberi impak yang besar dalam penggunaan tenaga kerja kerana telah meminimakan pengunaan buruh. Hal ini demikian, pengamalan monokultur khas untuk tanaman tidak kira sama ada ia dilakukan dalam skala besar ataupun kecil secara berterusan.
Walau bagaimanapun, pengamalan ini boleh menyebabkan penyebaran penyakit dengan cepat. Hal ini demikian kerana jenis tanaman yang sama mempunyai daya tahan yang sama. Hal ini akan memberikan kerugian yang besar kepada pengusaha tanaman tersebut. Istilah monokultur juga sering kali diguna dalam perkara-perkara seperti menaikkan sejenis spesies ternakan di sesebuah ladang atau dalam bidang-bidang selain pertanian untuk menggambarkan setiap kumpulan didominasi oleh satu variati sahaja.

Pengamalan pertanian bersepadu di Malaysia merupakan kegiatan pertanian yang terpenting dan diusahakan secara meluas oleh petani atau penghuni kampung di Malaysia. Tetapi, terdapat segelintir masyarakat yang mengusahakan pertanian bersepadu secara komersial. Kebiasaannya, aktiviti bercucuk tanam dijalankan bersama peternakan ayam kampung, lembu atau kambing. Kebiasaannya, tanaman jenis ini dilakukan bagi tujun sara diri untuk keperluan keluarga dan selebihnya dijual kepada penduduk tempatan sahaja. Pertanian bersepadu diusahakan oleh ahli keluarga yang bermodal kecil serta menggunakan jentera-jentera kecil dan kemudahan pemprosesan serta pemasaran yang disediakan oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, kebanyakan petani kampung masih mengamalkan cara pertanian tradisional. 

Melihat kepada sejarah awal transformasi pertanian di negara kita maka dapatlah difahami bahawa sektor ini bukanlah baru malahan merupakan sumber ekonomi utama masyarakat dahulu dan sekarang. Pertanian akan kekal menjadi nadi penggerak kepada negara dan usaha kerajaan untuk menjadikan sektor ini sebagai perniagaan yang amat menguntungkan perlu mendapat kerjasama dan penglibatan daripada semua pihak.

No comments:

My Blog List

Pantasnya Masa Berlalu...


Make your own Countdown Clocks

✿◕ ‿ ◕✿ ❀◕ ‿ ◕❀ ❁◕ ‿ ◕❁ ✾◕ ‿ ◕✾❁◕ ‿ ◕❁❀◕ ‿ ◕❀✿◕ ‿ ◕✿ ❀◕ ‿ ◕❀ ❁◕ ‿ ◕❁ ✾◕ ‿ ◕✾