Photobucket

Friday, October 29

Hati Itu


Insyirah mengintai ke luar jendela yang dibuka sedikit untuk melihat mentari tengahari. Menyaksikan padang universitinya yang dibasahi hujan yang turun sejak subuh tadi. Sudah tiga hari hujan turun tiada hentinya. Keadaan ini biasa berlaku di negeri-negeri di pantai timur.
Hujung tahun bermakna mulanya musim tengkujuh. Tidak pernah terdetik di fikirannya akan tercampak ke negeri Terengganu ini. Masakan tidak, dari kecil hingga  kini, tak pernah dia berenggang dengan keluarganya sejauh ini.
Seluruh perasaan masih merintih akan masalah yang masih memberati fikirannya. Saban masa, dia bersungguh-sungguh berdoa agar Allah membendung perasaan kasihnya terhadap seseorang yang membuatkan hatinya kini gundah gulana. Alangkah merananya dia dalam keadaan ini. Hatta ibarat terkena minyak pengasih.
"Ya Allah, suburkanlah cintaku pada-Mu.." rintih Insyirah.
Insyirah terduduk dan beristighfar.
"Susahnya bila ada masalah hati ni," keluh Insyirah.
Dia mengeluh sambil tangan menarik kerusi belajar. Usai duduk, dia mencapai buku mikrobiologinya. Otak sudah diset untuk menyiapkan lab report yang tertunggak sedari pagi tadi dek kerana melayan lamunan yang entah apa-apa. Seketika, dia membaca doa belajar yang ditampal di dinding meja studinya.
Sedang tangan ligat menulis introduction of morphology dan characteristic of bacteria pada kertas kajang, azan Zohor berkumandang dari masjid berdekatan. Sayup-sayup saja kedengaran laungan kemegahan itu dek kerana kedudukan masjid itu yang jauh.
Habis saja dia membaca doa selepas azan, dia mengejutkan Aishah, rakan sebiliknya yang sedang tidur. Qailullah (tidur sebentar sebelum waktu Zohor) katanya.
"Sha, Sha bangun. Dah azan dah.." sambil memanggil, dia mengoyang-goyang bahu Aishah.
Usai solat zuhur berjemaah di surau asrama yang dipimpin oleh seorang muslimin, Insyirah masih berteleku di atas sejadah. Memikirkan masalah 'hatinya'.
'Ya Allah, kenapa masalah ini juga yang terbayang-bayang? Berdosanya aku mengabaikan-Mu.'
Insyirah memejam mata sambil tangan kiri memicit pelipisnya. Tanpa disedari, bibirnya mengeluh. Cukup kuat untuk didengari Aishah yang sedang melipat sejadah.
Aishah memandang Insyirah sekilas.
"Syirah.." Aishah memanggil lembut.
Dalam mata yang masih terpejam, Insyirah masih bermonolog.
'Tu la syirah, kenapa tak jaga pandangan tu..'
"Syirah.." Aishah masih setia memanggil.
"Kan susah sekarang. Bukan kau sendiri tak tahu, daripada pandangan yang tidak terkawallah, hati boleh rosak."
"Syirah.." kening Aishah sudah berkerut.
"Parah ni. Tiga kali panggil tak berjawab."
Lantas, kaki melangkah ke arah Insyirah. Bahu rakannya itu disentuh lembut. Mata Insyirah terbuka. Memandang Aishah yang merenungnya dengan senyuman.
"Masih fikirkan masalah yang enti cerita kat ana semalam?" Aishah akhirnya duduk di sebelah Insyirah. Tangan yang dibahu, dibawa ke jari-jemari Insyirah pula. Digenggam erat.
Insyirah tersenyum tawar tanpa gula.
"Susahlah ukhti nak jaga hati ni. Tak terdaya rasanya" Insyirah meluahkan.
"Ukhti, Ukhti... memanglah susah ukhti nak jaga hati ni. Siapa kata senang? Sebab itu kita kena ada banteng kita sendiri. Ingat tak ceramah Ilaajul Qulub kelmarin? Ingat tak apa ustaz tu cakap. Err...apa nama ustaz tu? Aa Allah...ana lupa pula." Aishah mengaru dagunya sambil matanya memandang dinding surau, cuba mengingati nama ustaz tersebut.
Terimbas seketika ceramah bertajuk "Al-Qalbu kunci dalam mencorakkan peribadi unggul" yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Usuluddin di universitinya. Memang bagus ceramahnya. Terasa bi'ah solehahnya di dewan itu yang rata-ratanya dihadiri kakak-kakak Fakulti Kotemporari Islam(FKI) yang majoritinya bertudung labuh. Ada juga yang berpurdah.
"Ukhti ni... Ustaz Syed Hadzrullathfi lah nama ustaz tu.." Syirah menjawab. Mahu tergelak juga rasanya bila melihatkan Aishah yang bersungguh sangat memikir nama ustaz tersebut.
"Oh ye ke, ana lupa la ukhti. Ha, ingat tak apa ustaz tu cakap untuk menjaga hati ni?"
Insyirah menghela nafas panjang. "Ala Aishah ni, orang tanya dia, dia tanya orang balik."
"Jangan pernah redha dengan maksiat?" Insyirah menjawab kembali dalam nada bertanya.
"Lagi?"
"Tak bersungguh nak berubah?"
"Lagi?" Aishah seronok bertanya sambil tersenyum nipis.
"La...enti ni. Ana tanya enti, enti tanya ana balik." Insyirah menampar bahu Aishah.
Ketawa Aishah pecah.
"Sakitlah ukhti."Aishah memegang bahunya. Terasa sengal seketika.
"Tu la, buli orang lagi."
Aishah menarik nafas dalam. Memandang Insyirah sekilas sebelum memulakan bicara.
"Apa yang ana dapat tangkap pasal ceramah semalam, hati ini ukhti, kalau tak dididik, tak ditarbiyah, tak dipupuk, lama-lama hati kita ini akan kotor. Dan ruang untuk menjadi orang yang ingkar terbuka luas. Cuba enti semak kembali macam mana mutabaah (jadual muhasabah ibadah) enti sampai enti ada masalah hati dengan muslimin ni. Ana kira, andai kita betul-betul menghayati dan menjaga mutabaah kita, insyaAllah, hati kita terpelihara. Betul tak ukhti?"
Insyirah mengangguk. Mengiakan. Seketika cuba bermuhasabah kembali mutabaahnya yang tak terjaga akhir-akhir ini disebabkan terlalu banyak mesyuarat untuk program islamik yang dikendalikannya. Mungkin inilah sebabnya aku jadi begini.
"Enti cakap kat ana semalam, enti mula ada masalah hati dengan muslimin ini bila enti dilantik untuk uruskan program tu kan?"
Sekali lagi Insyirah mengangguk. Ya, dari situlah aku mula kenal dengan muslimin itu.
"Ukhti, enti kena ingat. Yang enti nak buat ni program islamik tau. Nak menyampaikan dakwah kepada masyarakat di luar sana. Andai enti sendiri sebagai pemimpin dah tersilap langkah, berdakwah dengan hati yang lagho, bagaimana dakwah enti nak berkesan?"
Senyuman masih tak lekang dari wajah bersih Aishah.
"Ukhti, ingat tak apa kak Mardiyah pernah cakap masa usrah kita? Dia kata, jangan ingat enti buat maksiat ni, tidak memberi apa-apa kesan dalam hidup kita. Dan ana sangat terkesan dengan ayat tu. Ana ingat sampai sekarang ni."
Insyirah diam tak terkata. Tertunduk dia seketika sambil memintal hujung telekung yang masih tak dibuka. Kini, tinggal dia dan Aishah sahaja di dalam surau tersebut. Jemaah yang lain sudah lama beransur pergi.
"Asas segala kelalaian dan nafsu syahwat adalah kerana kita redha dengan nafsu dan maksiat yang kita lakukan. Dan asas ketaatan kepada Allah adalah kesedaran untuk merubah diri kita. Ana tak nafikan ukhti, dalam kita bermujahadah tak nak melakukan maksiat, ramai antara kita tersungkur kembali. Itu memang fitrah ukhti sebab bila kita nak berubah, kita takkan boleh secara mendadak. Kena perlahan-lahan.."
Insyirah merenung kembali Aishah, cuba menghadam point-point yang dilontarkan.
"Dan itulah yang enti perlu lakukan sekarang ni. Bangkit semula ukhti. Ingat, enti adalah dai'e! Jangan mengalah pada syaitan yang takkan mahu kita bangkit kembali apabila kita dah tersungkur! Cuba ya ukhti. Jangan risau. Ana akan sentiasa bagi sokongan kat enti. Bila hadiri meeting nanti, cuba tajdid (perbaharui) niat dan kawal pandangan."
"Tapi kan ukhti, ana perasan, bila ada meeting je ana akan rasa excited. Entah la mungkin sebab dapat jumpa dengan dia tu? Tapi dalam masa yang sama, ana cuba jaga pandangan. Ana tak tahulah ukhti. Kadang-kadang terserempak dengan dia pun ana dah jadi tak betul," Insyirah akhirnya bersuara.
"Astaghfirullahal'azim Syirah..jangan macam tu. Rosak hati enti nanti bila enti berterusan begini. Ingatlah ukhti, sifat soleh muslimin tu, Allah yang ciptakan. Maka cintailah Dia yang menciptakan sifat soleh itu sendiri. Ana faham masalah enti ni. Bukan menimpa enti sorang sahaja. Bahkan, menimpa juga para dai'e di luar sana yang gagal menjaga hati dalam melakukan dakwah."
"Jangan putus asa, Insyirah. Allah Maha Bijaksana. Kita sama-sama muhasabah kembali. Cinta Allah itu sendiri kita masih merangkak-rangkak untuk mencari apatah lagi mahu mencari cinta manusia pula. Kita ni sebagai hamba-Nya akan sentiasa diuji. Dan ujian setiap orang itu berlainan."
"Ada yang diuji pelajarannya, ada yang diuji kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa, ada yang diuji kemiskinan, penyakit yang tak dapat diubati..tapi bagi enti, Allah sediakan ujian sebegini," Aishah mengulas panjang.
Alhamdulillah,kata-katanya itu semua ilham daripada Allah SWT untuk disampaikan kepada sahabat di depannya ini. Sayangnya dia pada Insyirah hanya Allah yang Mengetahui. Mungkinkah itu yang dinamakan ukhuwah fillah (persaudaraan kerana Allah SWT)?
"Tapi ana tengok kawan-kawan yang lain tu ok je. Tak rasa apa-apa pun bila berdepan dengan muslimin?" Insyirah mencelah.
Aishah menarik nafas sedalam mungkin. Namun, senyum masih menghiasi raut wajahnya.
"Mungkin ada antara mereka yang sudah ada benteng mereka sendiri. Come on ukhti. Evaluasi diri. Jaga mutabaah, sibukkan dengan benda-benda baik, insyaAllah akan buat enti tak fikir-fikirkan masalah ni ok," tangan Aishah merangkul bahu Insyirah.
Insyirah tersenyum kelat. Tanpa berkata apa-apa.
Beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun dia sering lalai, tak kuat mengharungi jalan perjuangan ini, tetapi masih ada sahabat yang saling mengingatinya. Sudah pasti ia adalah satu anugerah dari Allah SWT.
Sungguh, Allah itu ada di sisi hamba-Nya.
Sifat pengampun-Nya mendahului kemurkaan-Nya.
"Dah la tu. Jom pergi makan tengahari. Nanti sakit perut pulak. Pagi tadi makan biskut je kan," kata-kata Aishah mematikan lamunan Insyirah.
Dalam sepi dingin malam, Insyirah muhasabah diri. Usai membersihkan badan tadi, dia mengerjakan solat sunat. Berdoa dan bersujud kerana dirinya terasa jauh daripada kemanisan ibadah.
Dia akui, belakangan ini, dia sudah hilang kemanisan dalam solatnya, zikirnya dan tadabbur Al-Qurannya.
Terasa diri hina kerana sibuk menagih cinta manusia yang ternyata bersifat fana. Dan kini, di sepertiga malam ini, dia menyembah dan bersujud pada Dia yang memiliki segala cinta.
Dia rindukan saat dan rasa nikmatnya ibadah itu. Sungguh, dia ini hakikatnya hamba Allah yang tak punya apa-apa.
Dia tahu benar, andai hambaNya kembali dengan selangkah langkahan taubat, pastinya Dia mengampunkan dosa hambaNya. Namun, disebabkan nafsu, hatinya menafikan kemurahan sifat Tuhan sang pencipta.
Syira, syira..tidakkah kau nampak semua itu?
Mata terasa panas.
Insyirah bersyukur kerana Allah masih memaut hatinya ke arah kebenaran. Apa pun takdir yang menimpa dirinya adalah atas kehendak Allah swt. Maka, sebagai hamba yang fakir, dia wajib redha dan ikhlas.
Insyirah menoleh ke arah Aishah yang masih lena. Dia memandang wanita itu dengan segumpal perasaan sayang yang mendasari jiwanya kala ini. Sebagai manusia biasa, jauh di lubuk hati, terdetik satu cetusan rasa kagum dengan peribadi Aishah yang begitu menjaga cinta yang belum layak lagi diserahkan kepada mereka yang tidak halal.
Apatah lagi mereka berdua masih lagi bergelar mahasiswi. Cita-cita perlu didahulukan daripada cinta itu sendiri.
Kejarlah cita-cita sebelum mengejar cinta. Kejarlah cinta Allah yang kekal abadi.
Pandangan mata Insyirah masih tertumpah pada Aishah. Roomatenya itu selalu mendoakan dan membantu dirinya menghadapi pertarungan ini. Juga mebimbing dia ke jalan kebenaran yang diredhai Allah.
Bibir diketap. Hatinya sayu mengenangkan dosa-dosa. Akhirnya, titisan jernih mengalir jua di pipi wanita itu. Lama sudah dia membelakangi Allah.
Ya Allah, ampunkanlah aku yang hina ini. Tak tertahan rasanya ya Allah dugaanMu ini. Ku pohon ya Rahman, jadikanlah cintaMu itu lebih aku hargai daripada dunia dan seisinya. Ya Jabbar, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.
Ya Rahim, apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, maka, jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai.
Jadikanlah cintaku kepadaMu lebih aku utamakan daripada cintaku kepada keluargaku, diriku sendiri dan dunia seisinya. Hidupkanlah aku dengan cintaMu dan jadikanlah aku bagiMu seperti apa yang Engkau cintai.
Ya Allah, jadikanlah aku mencintaiMu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaanMu. Aku memohon perlindunganMu daripada cinta yang sia-sia. Aku hambaMu yang lemah ya Rabb. Tak mampu menolak ujian hati sebegini andai tiada bimbingan dan kekuatan daripadaMu.
Ucapan taubat itu benar-benar ikhlas dilafazkan. Rintihan taubat menjadikan seseorang hamba dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa. Dosa adalah penyakit dan istighfarlah syifa'nya. Bagi mengelakkan hati menjadi lalai maka dengan istighfar, insyaAllah, berupaya menjadikan seseorang hamba semakin menebal takwa dan imannya. Itulah yang cuba dilakukan Insyirah.
******
Dua tahun sudah berlalu. Masa berjalan begitu pantas. Udara sejuk bumi Scotland mengelus lembut pipi Insyirah. Terasa baru semalam kaki memijak bumi orang putih ini. Rasa baru semalam berpisah dengan umi, abah, opah, kak long, adik-adik dan semestinya Aishah.
Terbangnya dia ke bumi Scotland ini untuk menyambung masternya di University of Edinburgh, Scotland dalam bidang microbiologi.
Dia membuka tingkap apartment. Sekarang ini musim sejuk dan salji turun dengan lebat. Tergelak dia tatkala mengingatkan dirinya yang sangat teruja melihat salji pertama kali di depan mata.
Terasa sejuk, dia mengenggam tangan. Asap nipis keluar daripada mulutnya. Pandangan mata tumpah pada sesuatu di jemari kanan. Bibir mengukir senyuman manis. Cincin belah rotan tersarung kemas di jemari halus wanita itu.
Ya, dia tidak keseorangan di bumi Scotland ini. Ada suami yang menemani. Seorang lelaki yang halal untuk dicintai. Benarlah, sekiranya cinta sebelum nikah itu betul-betul dipelihara, kemanisannnya akan sangat dirasai setelah bernikah. Ada hikmahnya mengapa dia diuji dengan ujian hati dahulu. Dia selepas itu lebih berhati-hati agar cintanya tidak dilempiaskan pada yang sia-sia.
Duhai diriku, ingatlah Allah di mana-mana saja, nescaya Allah tidak sekali-kali melupakanmu. Sujudlah pada Allah, berlindunglah dari segala kejahatan yang nyata mahupun tersembunyi, dari kejahatan seluruh makhluk dan paling penting, berlindunglah pada Allah daripada kejahatan diri sendri. Memang perit bermujahadah itu tapi yakinlah, perjalanan yang sukar pasti ada hikmahnya. Bersabarlah...
Biarkan Allah yang mengatur segala...
Semuanya akan baik-baik saja...
Semua Akan Indah Pada Waktunya...
Glosari
ana - saya
enti - awak
ukhti - kakak
redha - pasrah
mutabaah - pengawasan
dakwah - seruan
lagho - lalai
da'ie - penyampai/pendakwah
tajdid - perbaharui

No comments:

My Blog List

Pantasnya Masa Berlalu...


Make your own Countdown Clocks

✿◕ ‿ ◕✿ ❀◕ ‿ ◕❀ ❁◕ ‿ ◕❁ ✾◕ ‿ ◕✾❁◕ ‿ ◕❁❀◕ ‿ ◕❀✿◕ ‿ ◕✿ ❀◕ ‿ ◕❀ ❁◕ ‿ ◕❁ ✾◕ ‿ ◕✾