Seorang Sufi, Ibnu Sammak mengadap raja dengan membawa secangkir minuman. Raja itu meminta sedikit nasihat daripada Ibnu Sammak.
Ibnu Sammak bertanya raja, “Katakanlah tuanku dalam kehausan yang amat sangat dan hanya terdapat secangkir minuman yang ada di tangan saya ini. Relakah tuanku membayar secangkir minuman ini dengan seluruh harta benda tuanku?”
Raja itu mengatakan, “Sudah tentu.”
Orang sufi itu meneruskan, “Kalau tuanku terpaksa menyerahkan takhta kerajaan tuanku untuk menghilangkan kehausan itu, bagaimana, bolehkah tuanku serahkan?”. Raja menjawab, “Sudah tentu Beta serahkan!”
Ibnu Sammak lantas berkata, “Nah tuanku, janganlah tuanku bergembira dengan takhta kerajaan yang nilainya hanya seteguk minuman!”
Kisah yang ringkas tetapi membawa makna dan pengajaran yang besar. Hal ini membuktikan bahawa setinggi manapun kedudukan, sebanyak mana pun harta, sehebat manapun diri anda, tiada yang dapat mengalahkan kekuasaanNya. Sekali Dia berkata Kun Fayakun, maka terjadilah. Sekelip mata sahaja segala pangkat dan harta yang dibangga-banggakan akan lesap dengan kehendakNya. Marilah bersama-sama kita mengucapkan ALHAMDULILLAH atas segala nikmat dan kurniaanNya yang tidak terhingga. Betapa besarnya kurnianNya yang mampu diibaratkan seperti secangkir air, yang ternyata nikmatnya lebih baik daripada segala yang ada di dunia ini sehinggakan mampu membuatkan seorang raja sanggup mengorbankan harta dan kedudukannya semata-mata bagi mendapatkan secangkir air tersebut.
-BSAL-
No comments:
Post a Comment